Pop Up

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below...

Powered By EXEIdeas

Thursday, 11 July 2013

Papa Hero's Fur Corner: Taboo of PTS





Put-To-Sleep vs Keajaiban
by Papa Hero

Perkataan Put To Sleep atau singkatan huruf akronimnya iaitu PTS sangat dibenci oleh mana-mana pencinta haiwan tegar di dalam dunia ini, lebih-lebih lagi buat mereka yang baru mengenal dunia aktivis haiwan . Terdapat begitu banyak pendapat yang menyokong dan juga menentang. Saya sendiri telah menerima banyak mesej melalui Facebook yang bertanyakan pendapat dan kekesalan mengapa penggunaan PTS ke atas haiwan semakin menular di Malaysia. Sukar untuk saya menjawab soalan-soalan sebegini kerana bimbang ianya disalahertikan. Saya sendiri sangat benci mendengar perkataan PTS. Saya juga sangat bersimpati dengan nasib haiwan yang mati dengan cara tersebut. Walaupun saya bukanlah pakar di dalam bidang perubatan veterinar, tetapi saya tahu ubat PTS itu dicipta mesti ada sebab dan alasan yang tertentu di dalam dunia perubatan veterinar.

Sedang saya memikirkan adakah penggunaan PTS ini relevan atau tidak, tiba-tiba saya teringat tentang sebuah filem perang yang tidak asing lagi iaitu Saving Private Ryan yang mencapai tahap Box Office pada tahun 1998. Saya akan terangkan sedikit mengenai apa kaitan filem tersebut dengan isu PTS yang sedang anda baca sekarang. Saya juga yakin sebelum babak ini disiarkan, ianya sudah tentu diteliti terlebih dahulu oleh pihak tentera Amerika. Begini lebih kurang kisahnya yang saya ingat.


Di dalam satu babak filem tersebut ada memaparkan tentera Amerika sedang melancarkan operasi serangan hendap ke atas tentera Nazi di sebuah gereja usang. Di dalam operasi tersebut, salah seorang anggota tentera Amerika iaitu Private Irwin Wade ( lakonan Giovanni Ribisi ) telah terkena tiga das tembakan Machine Gun MG-42 yang mengenai bahagian dadanya dan tembus mengenai tulang belakangnya. Private Irwin Wade adalah seorang Medik tentera. Beberapa orang anggota tentera yang lain telah bertungkus lumus untuk menyelamatkan Private Wade. Pelbagai cara telah dilakukan untuk menghentikan pendarahannya yang sangat teruk. Oleh kerana tidak tahan dengan kesakitan yang melampau, Private Wade yang cedera parah itu telah meminta rakan setugasnya menyuntik morfin untuk mematikannya kerana terlalu seksa menanggung kesakitan.


Dari riak wajah rakan-rakan Private Wade yang berusaha merawatnya, mereka sangat terkejut dan sedih dengan permintaan beliau. Kemudian rakan tentera Private Wade memandang ke arah Kapten Miller ( lakonan Tom Hanks ) dengan seribu harapan. Di dalam protokol tentera, apa-apa keputusan yang berat serta melibatkan nyawa perlu mendapat persetujuan dari Sarjan ataupun Kapten yang mengetuai peperangan sekiranya mereka berada di tempat kejadian.

Dengan berat hati, Kapten Miller pun terpaksa membenarkan anggota tenteranya menyuntik morfin ke peha Private Wade. Ini adalah kerana beliau terpaksa menghormati permintaan terakhir dari beliau. Yang menarik perhatian saya, Private Wade meminta suntikan morfin yang kedua selepas suntikan morfin yang pertama lambat mematikan dirinya. Kapten Miller pun dengan berat hati terpaksa membenarkannya sekali lagi. Akhirnya, Private Wade mati di sisi Kapten Miller setelah suntikan morfin kedua dilakukan. Setelah Private Wade dikebumikan, Kapten Miller menangis teresak-esak kerana terlalu sedih akan nasib yang menimpa beliau.


Di dalam ruangan emas ini, saya ingin mengandaikan Private Wade adalah kucing yang sakit dilanggar kenderaan atau cedera parah, rakan-rakan tenteranya adalah para doktor veterinar, Kapten Miller adalah pemilik kucing dan suntikan Morfin adalah ibarat ubat PTS. Bezanya ialah Private Wade boleh bercakap tetapi kucing tidak boleh bercakap. Walaupun ini hanyalah filem, tetapi bagi saya konsepnya dengan topik ini adalah lebih kurang sama. Persoalan yang timbul di fikiran saya ialah :

a ) Mengapa morfin dicipta?

b ) Mengapa morfin dibawa ketika di dalam perang?

c ) Mengapa perlu mendapatkan kelulusan dari Kapten untuk menyuntik Morfin?

d ) Mengapa Wade sendiri meminta beliau dimatikan?

e ) Mengapa morfin disuntik ke dalam anggota tentera yang cedera parah sahaja? Mengapa ia tidak disuntik ke atas tentera yang sihat tetapi melanggar peraturan disiplin?

f ) Mengapa perlu ada saksi apabila Morfin digunakan untuk mematikan anggota tentera yang cedera parah dan sudah tidak boleh diselamatkan?

g ) Adakah Wade akan hidup sekiranya tidak disuntik dengan Morfin?

Secara logiknya, segala teori dan undang-undang yang dipelajari oleh tentera sebelum ke medan perang sudah tentunya ada sebab mengapa ianya perlu dipelajari dan mengapa ianya perlu dilakukan bergantung kepada situasi. Senario yang sama juga berlaku kepada para doktor veterinar. Sia-sialah mereka belajar sekurang-kurangnya selama 5 tahun di dalam sektor tersebut sekiranya mereka tidak mengikut apa yang telah dipelajari.


Berdasarkan kenyataan yang saya perolehi dari beberapa orang doktor veterinar, kebanyakan mereka memberitahu bahawa hujah fakta mereka mengenai PTS sering disalahertikan oleh kebanyakan orang awam yang datang ke klinik mereka. Ianya seolah-olah satu sumpahan buat mereka. Ramai orang berhujah mengikut emosi tanpa menilai perkara yang rasional apabila mendengar perkataan PTS. Lebih teruk lagi, laman web sosial pula menjadi tempat meluahkan kemarahan. Tidak ketinggalan juga ada telah memanipulasikan kata-kata doktor veterinar yang ketika itu hanya menyebut perkataan PTS. Bagi saya, ianya sangat tidak adil buat mereka. Pada pendapat saya, kuasa Tuhan dan fakta sains memang berkait rapat namun apabila manusia terlalu obses mengharapkan keajaiban kuasa Tuhan terhadap kucing yang hampir mati, doktor veterinar pula yang dipersalahkan. Fakta sains tidak akan mampu menandingi kuasa keajaiban Tuhan. Namun begitu, doktor veterinar yang bertauliah pasti akan berhujah mengikut fakta sains dan teknologi yang dipelajari. Mereka tidak akan berupaya melakukan lebih dari apa yang Tuhan buat ( sila baca artikel saya edisi May 2013 yang bertajuk Doktor Veterinar Bukannya Tuhan ). Kita perlu menerima hujah fakta dari doktor veterinar dengan hati yang telus dan rasional. Orang biasa seperti saya sendiri juga sentiasa mengharapkan keajaiban kerana saya sedar bahawa saya bukannya pakar dalam bidang perubatan veterinar. Tidak banyak yang boleh saya lakukan kerana ia di luar bidang pengetahuan saya melainkan menyerahkan pada yang pakar sahaja.

Sebelum saya menulis artikel ini, saya telah mewawancara seorang doktor veterinar mengenai isu yang sangat panas ini. Menurut doktor veterinar ini, pernah ada satu kes di mana seorang individu yang telah membawa seekor kucing peliharaannya untuk dirawat. Berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang doktor veterinar hampir 25 tahun, kucing tersebut disahkan mengalami kerosakan organ dalaman yang sangat teruk walaupun kucing itu masih nampak normal dari fizikal luaran. Kemungkinan besar dia tidak boleh membuang air besar kerana saraf dan ususnya telah rosak. Kucingnya telah digilis oleh sebuah kereta tetapi masih hidup. Menurut beliau juga, di dalam prosedur perubatan veterinar bagi kucing yang cedera teruk seperti ini jalan terakhirnya adalah PTS. Itupun SEKIRANYA tiada orang yang mampu memberikan komitmen yang tinggi untuk menjaganya. 

Pada mulanya, pemilik kucing tersebut tidak percaya akan kata-kata doktor itu kerana kucingnya masih mampu bangun. Tetapi, setelah diberikan konsultansi berdasarkan fakta, barulah pemilik kucing itu faham. Pemilik kucing itu juga telah berjanji akan memberikan komitmen yang tinggi untuk menjaga kucing itu asalkan kucingnya dapat diselamatkan. Maka, doktor veterinar itu pun memberikan konsultansi tentang penjagaannya serta memberikan ubat-ubatan yang lengkap kepada pemilik kucing itu. Pemilik kucing itu juga perlu mendapatkan rawatan susulan setiap satu minggu dan kos yang perlu ditanggung sudah semestinya mahal. Menurut doktor itu lagi, walaupun ubat-ubatan diberikan dan rawatan susulan dilakukan, ianya bukan jaminan untuk kucing itu terus hidup. Keajaiban sangat diperlukan untuk kes-kes sebegini. Doktor veterinar tersebut juga menegaskan bahawa sekiranya pemilik kucing itu membenarkan PTS dilakukan terhadap kucingnya, sehelai borang perlu ditandatangani dan di antara syaratnya ialah pemilik kucing itu sendiri perlu menjadi saksi kucingnya disuntik mati.

Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana sekiranya pemilik kucing itu GAGAL memberikan komitmen penjagaan untuk kucingnya yang memerlukan tempoh masa selama berbulan-bulan? Sekiranya kucing itu mati, adakah ianya disebabkan oleh kecederaan dalamannya ataupun akibat kecuaian pemilik kucing tersebut memberikan komitmen? Sekiranya kos rawatan susulan telah banyak dilaburkan tetapi kucing itu mati, apakah doktor veterinar juga yang dipersalahkan?

Sekiranya kita mengalami situasi sebegini, kita perlu faham betul-betul apa yang doktor veterinar tersebut ingin sampaikan. Terimalah konsultansi dengan rasional, bukannya emosi. Mungkin doktor veterinar ini bukan suruh kita PTS kucing kita, tetapi dia hanya ingin menyatakan bahawa jalan terakhir untuk PTS kucing ini adalah menurut PROSEDUR PERUBATAN YANG DIPELAJARINYA SAHAJA.Lain pula ceritanya kalau kucing atau anjing yang sihat kena PTS oleh pihak berkuasa yang menangkap mereka. Bagi saya, perbuatan PTS haiwan sihat yang ditangkap ini adalah tidak wajar. Perkara ini masih boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bijak dan rasional. Banyak NGO dan aktivis haiwan sudi membantu pihak berkuasa bagi menjadikan kucing atau anjing sebagai anak angkat.

Untuk penulisan umum kali ini, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak menyatakan SETUJU dan saya tidak menyatakan TIDAK SETUJU dengan perbuatan PTS. Segala-galanya bergantung kepada situasi dan emosi di kala kita membuat keputusan, komitmen serta bagaimana hubungan kita dengan Tuhan. Kalau kita selalu berbuat baik, maka Tuhan pasti akan menolong kita dan juga kucing-kucing kita. Itulah erti KEAJAIBAN. Keajaiban itu ada di dalam diri kita sendiri sekiranya kita menjaga hubungan sesama manusia. Apa yang saya pelajari dari doktor veterinar berdasarkan hujah fakta mereka, bukan semua PTS bertujuan negatif tetapi pada masa yang sama ia tidak boleh juga dipandang positif.


Tetapi, jauh di lubuk hati saya biarlah kucing itu mati dengan sendiri kerana sebagai seorang Muslim, saya takut untuk mengambil alih kerja-kerja Tuhan. Saya juga tiada kekuatan untuk membenarkannya. Tiada mati yang tidak sakit. Itu hanyalah pendapat peribadi saya sahaja berdasarkan beberapa bacaan yang berunsur keagamaan.

Berbalik kepada filem Saving Private Ryan tadi, adakah anda rasa tindakan menyuntik Morfin kepada Private Wade adalah wajar? Hanya Tuhan yang tahu isi hati kita.

Blogger's note: I think by far, this is the most 'heaviest' and sensitive topic I've ever carried in my blog. Bear in mind that every opinion here is very subjective and can be interpreted differently, depending on your appetite to find fault. Like the cartoon strip I put above, something a lethal as a bomb can be used as a tool for terrorism, to protect and to entertain. Similarly, every invention in the medical science has its use. This includes the PTS procedure. It depends when, why and how it is applied. The purpose, principle and premeditation can change the entire perspective of its usage. However, make no mistake that PTS will remain a taboo word for animal lovers for a long long time to come. I really hope it does. Coz otherwise, words like rescue, saving, persistence, try, recovery, hope and love will die together in the finality of the drug. 

If  it's your first time here, this segment is my hybrid bilingual post with renowned animal activist Papa Hero (from Kakimotong Fan Club), sharing his thoughts and views on animal welfare. This segment is also dedicated to a section of A Fortress of Fur followers who may feel comfortable reading in Bahasa Melayu (thanks to popular request). So now with this in place, you have no excuse to miss out on education and awareness due to language barriers. The English version can be found in our June edition magazine, in a two-page spread. If you didn't manage to get a copy, read it online on page 32-33.


Yours Furly,
L'Shawn Tanis

11 comments:

  1. Simple je...dalam Islam, ada garis panduan, mercy killing adalah haram....sama seperti kita membunuh...begitu juga la jika berlaku pada haiwan.

    Tetapi kalau haiwan tersebut memberi mudhrat kepada manusia (bukan disebabkan provokasi manusia itu sendiri) maka, adalah harus kita membunuhnya secara beradab. Bukan menyeksanya.

    Cuma, kita sebagai manusia, haruslah berusaha dahulu menyelamatkan keadaan sebelum mengambil apa2 keputusan kerana NYAWA adalah HAK Allah...bukan urusan kita...

    Just my two cents.

    ReplyDelete
  2. Assalam...

    Situasi yang berlaku ke atas tentera dan juga haiwan tidak boleh disamakan. Ini kerana saya ingin tegaskan di sini, setiap manusia mempunyai pegangan agama dan kepercayaan.

    Pada pendapat saya, suntikan morphin adalah tidak wajar di dalam filem tersebut.. Bayangkan jika tentera tersebut adalah beragama Islam. Perbuatan meminta untuk menyuntik morphin supaya dimatikan sama seperti membunuh diri. Di dalam Islam, hukum membunuh diri adalah dilarang dan berdosa besar jika melakukannya. Saya percaya bukan Islam sahaja yang melarang umatnya melakukan perbuatan sedemikian, bahkan agama lain juga turut melarang perbuatan tersebut.

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks for your input Muhammad Firdaus.

      Delete
  3. Saya kurang setuju dgn komen diatas.. meminta untuk disuntik morphin bukan bermaksud untuk membunuh diri.. Macam arwah nenek saya dulu.. koma berbulan2.. sampai satu hari ayah diberi kaunseling.. Doctor tanya samaada nak tunggu sampai nenek sedar (miracle) atau cabut wayar dah dia akan mati..

    Sebagai anak mesti lah ayah takkan buat begitu namun, doctor beri nasihat.. "mak awak sakit.. dia sedang tahan kesakitan yang kita pun tak tahu boleh atau tak untuk baik.." "kalau dia boleh cakap pun mesti dia akan suruh awak cabut wayar ni supaya dia pergi dgn tenang"

    Kat sini boleh disimpulkan.. memang kisah dalam filem ni ada berlalu dlm masyarakat kita.. Islam mudah.. jangan complicate kan..

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. salam.. baru baca artikel ni..

    sedikit penambahan..
    dalam satu perang pada zaman nabi dulu, tidak ingt perang uhud or khandaq.. ada satu peristiwa yg diceritakan nabi, seorang tentera muslim yg berperang bersama nabi, mayatnya ditemuipara sahabat.. ketika melewati dan mengumpulkan mayat yg terkorban, nabi akan mendoakan dia sbg syuhada... tp pada seorang ini, dia dikira membunuh diri sbb tidak tahan sakit luka, dia menusukkan pedang..

    ReplyDelete
  6. Jangan putus berharap dan putus usaha..sebab nyawa itu hak tuhan...bukan hak kita utk mengambilnya...tak kiralah pada manusia or haiwan

    ReplyDelete
  7. Perbincangan topik berat ini semakin sukar jika tiada ulamak ataupun ahli ilmu agama mengupas hal ini dengan mendalam, teliti, melihat kepada keperluan masa kini dan mengambil kira semua sudut. Pelbagai pendapat oleh orang awam yang pelbagai prinsip dan pandangan serta juga yang beremosi, tanpa merujuk kepada kaedah-kaedah dan asas dalam ilmu agama akan mengusutkan lagi perbincangan sebegini.

    ReplyDelete