Pop Up

Receive all updates via Facebook. Just Click the Like Button Below...

Powered By EXEIdeas

Thursday, 14 February 2013

Papa Hero's Fur Corner - It's The Parents



Tanggungjawab Sebagai Ibubapa & Pemilik Haiwan: oleh Papa Hero

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Petster kerana telah sudi memberikan peluang untuk menjadikan majalah dan blog yang disukai ramai ini sebagai platform untuk saya menyampaikan risalah perjuangan saya sebagai seorang aktivis dan pencinta haiwan.

Untuk penulisan kali ini, saya ingin menulis serba sedikit tentang betapa pentingnya kita menyemai sikap sayangkan haiwan di dalam diri masing-masing dan juga kepada anak-anak. Setiap makhluk yang bernyawa sudah pastinya mempunyai roh tetapi ia dijelmakan di dalam jasad fizikal yang berbeza. Kita sepatutnya bersyukur kerana roh kita telah dijelmakan di dalam jasad makhluk yang bernama MANUSIA. Tuhan telah mengiktiraf manusia sebagai satu makhluk yang paling sempurna di atas muka bumi ini. Di antara keistimewaan manusia yang tiada pada makhluk lain ialah AKAL. Dengan akal, manusia mampu berbuat apa sahaja sama ada ia mendatangkan keburukan atau kebaikan kepada makhluk lain. Dengan akal jugalah kita sama-sama dapat mewujudkan sebuah komuniti hebat yang boleh membaca artikel ini


Sebagai manusia yang mempunyai akal yang waras, kita sepatutnya menggunakannya untuk berbuat kebaikan, seperti menjaga kebajikan haiwan. Ramai juga di kalangan kita tidak berputus asa memperjuangkan hak haiwan ini, kerana mereka sedar bahawa haiwan ini juga mempunyai hak untuk hidup.  Justeru, peranan ibubapa adalah sangat besar dalam usaha menerapkan nilai-nilai tertentu untuk mecapai matlamat ini...


Saya tidak nafikan, ada ramai di kalangan ibubapa yang tidak sukakan haiwan, namun begitu ia tidak bermakna mereka boleh mengajar anak-anak mereka untuk turut membenci haiwan juga. Sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, mereka sepatutnya memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk memilih makhluk apa yang ingin disayanginya. Menyayangi kucing atau anjing adalah satu permulaan yang sangat baik. Bak kata pepatah, seribu perjalanan hanya akan bermula dengan SATU LANGKAH.

The twins - one year old
Dengan mendidik anak-anak kita untuk menyayangi haiwan, ia banyak memberikan kesan yang positif. Anak kecil yang dididik untuk menyayangi haiwan biasanya akan bersikap positif, berdikari dan selalu menghargai nyawa walaupun nyawa seekor semut. Ini secara tidak langsung akan meninggalkan satu kesan yang sangat baik untuk negara kerana kita bakal melahirkan modal insan yang berkualiti.


Saya mempunyai dua orang anak kembar perempuan. Sejak dari kecil, saya bawa mereka ke mana sahaja aktiviti yang melibatkan misi menyelamatkan haiwan haiwan. Apabila saya minum di mana-mana restoran, saya akan membelikan beberapa ekor ikan dan menyuruh anak saya sendiri yang memberikan kucing-kucing jalanan makan. Anak saya juga tidak takut dengan anjing kerana saya telah mengajar mereka bahawa anjing adalah seekor haiwan yang sangat baik dan setia. Saya selalu memberitahu kepada anak saya bahawa kucing adalah seekor haiwan yang patut kita lindungi, bukan untuk kita pukul. Hasilnya, anak-anak saya menjadi seorang yang sangat berkeyakinan tinggi walaupun mereka hanya berusia 5 tahun.

Saya selalu berharap agar suatu hari nanti anak-anak saya bakal menjadi seorang yang sangat prihatin kepada manusia. Tetapi pada masa yang sama, saya perlu melatih mereka untuk menjadi prihatin kepada haiwan juga. Tujuannya adalah supaya ADA KESEIMBANGAN di dalam hidup mereka apabila dewasa nanti. Mereka akan menjadi seorang manusia yang sayangkan manusia dan haiwan. Barulah hidup mereka akan menjadi lebih sempurna dan kehadiran mereka akan lebih dihargai oleh masyarakat.

The twins taking part in every rescue mission. Probably the youngest animal 'activists' in the country.
Perjuangan saya untuk membela nasib haiwan jalanan ini sebenarnya adalah untuk disambung oleh anak-anak pada generasi masa depan. Untuk menjayakan matlamat ini, kita perlu didik anak-anak kita. Kadangkala, untuk mendidik orang dewasa lebih sukar dari mendidik anak kecil. Sebagai ibubapa juga kita perlu merancang yang terbaik untuk keluarga kita agar ianya mendatangkan manfaat kepada seluruh masyarakat.  Sekiranya setiap satu keluarga di Malaysia berjaya mendidik anak-anak untuk menyayangi haiwan, saya pasti bahawa masalah pembuangan kucing dan anjing jalanan dapat dibanteras di Malaysia. Mungkin ada di kalangan anak-anak kita bakal menjadi doktor veterinar. Kerjaya sebagai seorang  doktor veterinar juga adalah satu kerjaya yang mempunyai masa depan yang sangat cerah.


Saya mengambil contoh mengenai diri dan keluarga saya sendiri. Kedua ibubapa memang selalu mengutip kucing-kucing jalanan dan membawa mereka pulang ke rumah. Dari sinilah saya mula mempelajari bagaimana untuk menyayangi haiwan. Saya melihat sendiri bagaimana kedua ibubapa saya merawat kucing-kucing yang sakit dengan cara tradisional. Mereka menasihati saya agar kucing juga perlu disayangi dan dihormati kerana mereka juga mempunyai hak untuk hidup di atas muka bumi ini. Sejak itu, saya mula menaruh minat untuk bersama-sama mereka untuk membesarkan kucing jalanan yang dibawa pulang.


Untuk menjadi ibubapa yang cemerlang, kita perlu membuat satu ‘standard’ di dalam proses pendidikan anak-anak. Di antara ‘standard’ yang saya tetapkan kepada anak-anak saya ialah beri kucing jalanan makan setiap kali ia menghampiri mereka. Setakat ini, ia berlaku tanpa gagal. Kini, anak-anak saya pasti akan memberikan kucing jalanan makan apabila berjumpa dengan mereka tanpa disuruh. Mereka sudah mula mengenali erti tanggungjawab sejak mereka berusia 6 tahun. Saya juga menggunakan menggunakan kaedah membiarkan anak-anak saya menonton kartun yang bertemakan haiwan seperti Doraemon, Lion King, Madagascar dan Ice Age. Saya mendapati cara ini sangat berkesan.


Sudah tentu kita ingin melihat anak-anak kita bahagia, kan? Tetapi bagi saya kebahagiaan itu tidak akan sempurna sekiranya mereka tidak diterapkan dengan nilai-nilai positif terhadap haiwan. Ibubapa adalah tempat rujukan yang paling berkesan untuk anak-anak. Jangan sesekali kita melakukan perkara-perkara yang negatif di hadapan anak-anak kita seperti menyepak kucing dan memukulnya. Ini akan mendatangkan kesan yang sangat tidak baik di dalam perkembangan mental dan fikiran mereka. Sebagai seorang bapa, saya mengajar semula anak-anak saya, apa yang diajar oleh ibubapa saya sendiri. Saya mahu mereka membesar dengan sempurna. Maksud sempurna di dalam konteks ini ialah membesar sebagai seorang yang tidak kenal diskriminasi dan sayang kepada semua benda hidup. - PH

Blogger's note: Dear Fursians, if you've been following my column in the PETSTER Magazine, this was what I promised earlier. Every month from now onwards, there will be a piece of entry from the renowned animal activist Papa Hero (from Kakimotong Fan Club), sharing his thoughts and views on animal welfare. This segment is also dedicated to a section of A Fortress of Fur followers who may feel comfortable reading in Bahasa Melayu :) (thanks to popular request). So now with this in place, you have no excuse to miss out on education and awareness due to language barriers. The summarized English version can be found in our January edition magazine, in a two-page spread. If you didn't manage to get a copy, read it online on page 45-44.
Click here for the English version from PETSTER mag ----> http://bit.ly/VcbDVw  

Yours Furly,
L'Shawn Tanis


2 comments:

  1. ok. can i get a list of vets that provide the mag? wanna zzuuppp rushing there...lolz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi akuzle ayu, here's the list.

      http://www.petstermagazine.com/distributor/main/

      Delete